07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Kg Sinaran Baru, 17 April 2025 – Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui Unit Jalinan Industri (UJI) telah mengadakan perbincangan dan lawatan kerja ke Kampung Baru Sri Aman dan rangkaian bagi melaksanakan Program Kampung Angkat Madani. Delegasi JTM yang diketuai oleh Hajah Norlisa Rahmat, Ketua Unit Jalinan Industri, telah mengunjungi kampung tersebut untuk memastikan kelancaran pelaksanaan program yang bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Delegasi ini turut disertai oleh Ts Haji Yasir bin Aziz, Timbalan Pengarah BPK, Ts Dr Haji Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai, serta pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat JTM dan ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang dan Senai. Juga menyertai lawatan ini adalah Pengajar Pakar Bahagian Teknologi ADTEC JTM Kampus Kota Bahru, En. Mohd Khalel bin Hassan. Sementara itu, pihak Kampung Baru Sri Aman dan rangkaian diwakili oleh En. Tukimin bin Aziz, Ketua Kampung, En. Muhammad Rizal bin Rahmat, JPKK Kampung dan semua ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JKPP).

Dalam perbincangan tersebut, Ts Haji Yasir telah membentangkan sembilan (9) skop projek yang telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Program Kampung Angkat Madani. Program ini bertujuan untuk memperkasa komuniti melalui pelbagai inisiatif pembangunan yang relevan. Mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan tapak projek, dan semua skop yang dicadangkan bersetuju untuk dilaksanakan berdasarkan keutamaan dan kos yang terlibat.

Pihak JTM dan Ketua Kampung juga telah bersetuju untuk mengaturkan pertemuan dengan pegawai daerah (DO) pada 24.4.2025 bagi mendapatkan kelulusan penggunaan tanah bagi perlaksanaan program ini. Kelulusan tersebut adalah langkah penting dalam memastikan keberkesanan dan kelancaran setiap projek yang dicadangkan.

Program Kampung Angkat Madani ini merupakan inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat kampung. Diharapkan bahawa program ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat Kampung Baru Sri Aman dan rangkaian, serta meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pelaksanaan projek yang dirancang.

Skip to content