Pasir Gudang, 8 April 2025 – Satu langkah strategik dalam memperkasa bidang kimpalan negara diterjemahkan melalui Mesyuarat Kerjasama Teknikal Penubuhan JTM–KUMAI Welding Academy yang telah berlangsung di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang hari ini. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Tuan Ts Kamaruzaman bin Hj Md Ali, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia.
Turut hadir, Ts. Dr. Hj. Azli Amin bin Ahmad Raus, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang; Ts. Dr. Hj. Mustal bin Makmud, Pengerusi Jawatankuasa Kepakaran Kluster Kimpalan JTM, Hjh Noor Lisa Rahmat KPP Unit Jalinan Industri; En. Zamri bin Mohd Zain, Pengarah Urusan Refzen (M) Sdn Bhd serta barisan pegawai daripada ADTEC Pasir Gudang, Jawatankuasa Kepakaran Kluster Kimpalan JTM dan Syarikat Refzen (M) Sdn Bhd.
Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada perbincangan awal penubuhan JTM–KUMAI Welding Academy, yang dirancang beroperasi di bangunan baharu Bahagian Kimpalan, ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang – sebuah fasiliti berteknologi tinggi yang telah siap dan diserahkan pada 27 Februari 2025.
Syarikat Refzen telah menyatakan persetujuan secara prinsip untuk terlibat dalam penubuhan akademi ini dan bersedia memberikan komitmen penuh ke arah menjayakan inisiatif berimpak tinggi ini. Akademi ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada Jun 2025 dan bakal menjadi pusat rujukan serta latihan utama dalam bidang kimpalan berprestasi tinggi.
Penubuhan JTM–KUMAI Welding Academy ini selaras dengan aspirasi Jabatan Tenaga Manusia untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama industri serta memperluas akses latihan kemahiran berteraskan keperluan pasaran.
