Perhimpunan pelajar bersama Pengarah telah berlangsung buat kali pertama di Adtec Kampus Senai di Dewan Sri Johor. Dimulakan dengan nyanyian Lagu Rasmi dan bacaan doa, Bacaan Ikrar Rukun Negara telah diketuai oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Sdr. Muhammad Yusry bin Azuan. Seterusnya bacaan petikan Buku Peraturan Tatatertib Pelajar ILJTM oleh Sdr. Mohamad Aqil Afifi bin Mohamad Yazid dan petikan tersebut diulas oleh En. Redha Anwar bin Mohamad, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang menerangkan peraturan berkenaan larangan menghisap/membawa/memiliki serta menyimpan rokok dan rokok elektronik di dalam kawasan institut.
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan dan amanat YBrs. Ts Dr. Alina binti A. Rahman @ Othman, Pengarah ILP Pasir Gudang. Puan pengarah menyatakan beliau berbesar hati menghadiri perhimpunan yang buat kali pertama diadakan di Kampus Senai ini. Beliau juga memberi saranan kepada para pelajar agar menjaga tingkah laku sama seperti di ILP Pasir Gudang walaupun kini berada di kampus yang baru. Puan Pengarah mengingatkan agar pelajar mematuhi segala peraturan terutamanya berkenaan rokok dan rokok elektronik.
Dalam sesi ucapan itu juga, Puan Pengarah telah membuka ruang bagi pelajar menyatakan hasrat atau aduan. Isu seperti keluar bermalam, fasiliti asrama dan fasiliti sukan telah diajukan oleh para pelajar dan telah dijelaskan oleh puan pengarah bagi penyelesaian isu-isu tersebut. Para pelajar diminta untuk membuat permohonan rasmi yang berkaitan melalui Majlis Perwakilan Pelajar yg telah dilantik. Selesai ucapan Puan Pengarah, majlis diteruskan lagi dengan Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Senai bagi tahun 2025 dan bacaan Ikrar MPP yang diketuai oleh Sdr. Muhammad Yusry bin Azuan sekali lagi. Perhimpunan bersurai pada jam 4.15 petang.
