Program Seminar Kerjaya Pelajar telah berlangsung pada 3 dan 4 Februari 2025 bertempat di Dewan Kuliah Utama, ILP Pasir Gudang dan Dewan Sri Johor, ADTEC Kampus Senai melibatkan seramai 218 pelajar-pelajar semester akhir Sesi 1/2025. Program ini dianjurkan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai persediaan menghadapi alam pekerjaan, meningkatkan kemahiran insaniah, membantu pelajar mengenal potensi diri dan minat kerjaya serta meningkatkan kesedaran pelajar tentang kehendak majikan dalam pasaran kerja.
Selama dua (2) hari, pelajar-pelajar berpeluang merancang hala tuju kerjaya dengan lebih teratur termasuk langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat kerjaya mereka menerusi slot Taklimat Seminar Kerjaya yang telah disampaikan oleh Unit CESS. Pelajar juga turut dibimbing oleh Kaunselor dalam mengenal pasti kekuatan, minat dan bakat mereka melalui Ujian Psikologi Self-Directed Search (SDS) sebagai asas untuk menentukan hala tuju kerjaya menerusi slot Kenali Potensi, Bina Kerjaya.
Melalui program ini juga, para pelajar didedahkan dengan panduan praktikal mengenai penyediaan resume yang telah disampaikan oleh Cik Suraya Hani (Jab. Pengajian Am). Pengisian program diteruskan dengan demonstrasi penggunaan portal dan pendaftaran MyFutureJobs bersama pihak PERKESO Johor. Pihak PERKESO turut berkongsi tip dan strategi untuk meningkatkan kebolehpasaran termasuk teknik dan simulasi temuduga.
Selain itu, pihak industri juga telah dijemput untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi membantu penyesuaian potensi pelajar dengan keperluan industri dan memberikan perspektif dunia kerjaya sebenar. Pihak institut telah menjemput Mr. Ram Amarsingam, Senior Manager HR Beyonics Precision Malaysia Sdn. Bhd, bagi menyampaikan ceramah bertajuk Pekerja Awesome, Disenangi Majikan di ADTEC Kampus Senai. Manakala, di ILP Pasir Gudang, pihak institut telah menjemput Mr Vinesh Gemini dan Pn Norabdiah Ibrahim (Pasir Gudang Plant) dengan tajuk ceramah Komunikasi di Tempat Kerja.
Bagi memastikan pelajar semester akhir mendapat bimbingan praktikal dan inspirasi untuk menghadapi fasa transisi ke alam pekerjaan, dua (2) orang alumni telah dijemput memberikan inspirasi melalui perkongsian pengalaman alumni yang berjaya dalam bidang kerjaya mereka. Alumni yang telah dijemput pada seminar kerjaya pada kali ini ialah Tc. Imran bin Harron yang kini merupakan tenaga pengajar di Johor Skills Development Centre dan juga En. Muhammad Umar Muiz bin Mohd Azahar yang kini merupakan seorang Pembantu Jurutera.
