Pada 17 Disember 2024, pihak Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru dengan kerjasama Kelab Belia Progresif Aman Larkin dan ILP Pasir Gudang telah menganjurkan Program Rakan Mahir : Skill for Life (Digital Marketing Canva) @Parlimen Pasir Gudang bertempat di Bilik ICT ILP Pasir Gudang. Program ini telah disertai oleh seramai 20 orang peserta terdiri daripada pelajar-pelajar serta anak-anak kakitangan institut di kalangan anak jati Pasir Gudang dengan bimbingan oleh Tc Azri Fahmy bin Hj Azman, pengajar Bahagian Teknologi Elektronik Industri ILP Pasir Gudang. Objektif penganjuran Program Rakan Mahir ini adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti di bawah Parlimen Pasir Gudang akan penggunaan aplikasi Canva dalam membuat pemasaran digital seiring dengan keperluan era digital masa kini.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Hassan bin Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang dan turut dihadiri oleh Encik Abd Isa Bin Abd Rasah, Pegawai Belia Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru, Encik Mohd Said Iskandar Bin Kamal Admi, Pengerusi Kelab Belia Progresif Aman Larkin serta beberapa orang pegawai pengiring dari Pejabat Parlimen Pasir Gudang, Biro Kebajikan Parlimen Pasir Gudang & Unit Media dan pegawai-pegawai dari Kelab Belia Progresif Aman Larkin.
Pihak ILP Pasir Gudang berbesar hati dengan peluang kerjasama yang diberikan dan berharap lebih banyak program-program usahasama seperti ini dilaksanakan di masa-masa akan datang. Disamping dapat meluaskan peluang kerjasama dengan agensi yang terlibat, program-program seperti ini juga mampu mempromosikan ILP Pasir Gudang kepada komuniti setempat.