Pada 28 November 2024, pihak ILP Pasir Gudang menjadi tuan rumah bagi penganjuran Program PETRONAS Powering Knowledge STEM Carnival with Duta Guru yang merupakan satu program anjuran Petronas Wilayah Selatan dengan kerjasama Yayasan Petronas, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) dan Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang.
Tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada murid-murid sekolah menengah untuk mempelusuri laluan kerjaya dalam industri STEM, TVET, Minyak & Gas, dan sebagainya. Platform ini juga menjadikan ruang perkongsian idea oleh Duta Guru di samping mempamerkan projek-projek inovasi mereka. Program pendidikan ini juga dirangka khusus bagi menyemarakkan lagi minat pelajar sekitar Pasir Gudang terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Aznan Bin Tamin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor ini telah disertai oleh seramai 150 orang pelajar tingkatan 3 dan 4 dari 15 buah sekolah menengah terpilih sekitar Pasir Gudang bersama guru-guru pengiring. Antara jemputan kehormat yang hadir ialah En Hisham bin Abdul Hamid, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sektor Pembelajaran, JPN Johor dan Encik Baharudin Bin Ishak, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang dan En Mislan bin Ponamin, Pengurus Pusat Kecemerlangan (MMHE). Turut hadir ialah Wakil-wakil dari Petronas Dagangan Berhad, Petronas Gas Berhad dan Petronas Refinery Petrochemical Corporation serta beberapa orang Duta Guru serta Guru Pembimbing Peserta Duta Guru sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru.
Beberapa aktiviti telah dijalankan sebagai pengisian dalam program ini. Antaranya ialah aktiviti memasang serta mengoperasikan robot menggunakan aplikasi Arduino dengan bimbingan oleh pengajar-pengajar daripada Bengkel Elektronik Industri ILP Pasir Gudang. Selain itu diadakan juga aktiviti ‘hands-on’ yang melibatkan pengetahuan STEM dalam scribbling machine yang dibimbing oleh kakitangan Petrosains. Turut diadakan pameran TVET oleh institusi yang menjalankan program Vocational Institution Sponsorship and Training Assistance (VISTA) Petronas iaitu ILP Pasir Gudang, IKBN Bandar Penawar dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan serta pameran dari Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) yang merupakan rakan strategik Petronas dan ILP Pasir Gudang.