07-2544170 , Fax: 07-2511910 info.ilppg@jtm.gov.my

Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) merupakan satu program khas komuniti yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Antara objektif program ini adalah bagi memperkayakan sikap cakna pemimpin untuk menyantuni penduduk dan menjadi suri tauladan kepada kampung kelahiran atau tempat membesar pemimpin, memupuk budaya “Sense of Belonging” dan “Proud With” di kalangan pemimpin terhadap kampung halaman sendiri dan meningkatkan potensi kampung serta keupayaan masyarakat melalui libat urus pemimpin bersama penduduk.

Kampung Sinaran Baru telah didaftarkan sebagai kampung YBhg. Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, di bawah program ini. ILP Pasir Gudang telah dipertanggungjawabkan untuk mengalas tugas bagi menjayakan program ini

Sesi perbincangan telah bermula pada 22 Ogos 2024 antara JTM, ILP Pasir Gudang bersama Jawatankuasa Kampung yang diketuai oleh Encik Tukimin bin Aziz selaku Ketua Kampung berkenaan hasrat perlaksanan program Santuni Madani. Melalui perbincangan ini, projek Fasa 1 akan bermula dengan kerja penyelenggaraan di Surau Annur, Kampung Sinaran Baru.

Pada 9.9 2024 telah bermula kerja pembinaan garaj bagi meletakkan kenderaan jenazah surau. Kerja pembinaan lantai konkrit untuk garaj van jenazah telah dimulakan pada 17.9.2024. Kerja pemasangan lampu solar untuk bahagian belakang surau telah dibuat pada 25.9.2024 bersama dengan kerja penyelenggaraan terhadap penghawa dingin surau. Pembinaan rak tikar dan rak kerusi telah diserahkan pada pihak Surau Annur pada 9.10.2024.

Pada 17 Oktober 2024, pihak JTM dengan kerjasama pihak Surau Annur telah mengadakan Majlis Doa Selamat dan sesi ramah mesra Ketua Pengarah JTM bersama jemaah Kampung Sinaran Baru. Majlis ini diakhiri dengan jamuan makan malam bersama jemaah yang hadir.

Pada 18 Oktober 2024 merupakan kemuncak kepada program ini di mana Majlis Peluncuran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) ini telah diadakan di Balai Raya Kampung Sinaran Baru, Skudai, Johor yang telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Rospiagos bin Taha, Ketua Pengarah JTM. Majlis ini turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Tebrau, Ketua Kampung Baru Sri Aman & Rangkaian, Timbalan Ketua Pengarah JTM, Pengarah-pengarah ILJTM Johor, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor serta ahli-ahli Jawatankuasa Kampung. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sempena majlis peluncuran ini antaranya Kursus Jangka Pendek Menukar Minyak Hitam oleh ILP Pasir Gudang, Kursus Jangka Pendek Dron dan Demonstrasi Dron oleh ILP Mersing, Kursus Jangka Pendek Pendawaian Elektrik Satu Fasa dan Demonstrasi Robot oleh ADTEC Batu Pahat, Program Penukaran Topi Keledar dan Perhidmatan JPJ Mobile oleh pihak JPJ serta pameran TVET oleh institusi ILJTM Johor. Dianggarkan sejumlah 400 orang pengunjung telah hadir memeriahkan majlis yang julung-julung kalinya diadakan ini yang terdiri daripada penduduk kampung, kakitangan ILJTM Johor, kakitangan JPJ serta pelajar-pelajar sekolah sekitar komuniti Kampung SInaran Baru, Skudai, Johor.

Diharap program ini dapat mencapai objektifnya dalam membantu penduduk menangani isu sosioekonomi seperti kemiskinan, keciciran pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, penyalahgunaan dadah, serta infrastruktur.

Skip to content