Unit Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) ILPPG dengan kerjasama Unit Tranfusi, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru telah menganjurkan Kempen Derma Darah ILPPG 2024 pada 25 April 2024 di Dewan Platinum ILP Pasir Gudang. Program yang dianjurkan setiap tahun ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepada para pelajar dan kakitangan ILPPG tentang kebaikan menderma darah, menanam sifat prihatin terhadap penderitaan insan yang memerlukan dan meningkatkan kesedaran tentang perlunya untuk sentiasa mempunyai tubuh badan yang sihat.
Kaunter pendaftaran dibuka seawal 9.30 pagi hingga 3.00 petang. Kempen ini mendapat sambutan yang baik daripada pelajar dan juga kakitangan ILPPG. Seramai 99 orang telah mendaftar dan hanya 73 orang sahaja yang melepasi tapisan dan berjaya menderma. Menerusi Program Kempen Derma Darah ini, diharapkan dapat memupuk nilai murni dalam diri seterusnya dijadikan sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat dalam menanam sikap sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Jutaan terima kasih kepada para penderma budiman kerana anda adalah wira negara.