Pada 18 Mei 2023 yang lalu, Majlis ‘Sembang Santai Tanjung Langsat HR Networking’ telah diadakan di ILP Pasir Gudang. Majlis ini merupakan anjuran bersama dengan Persatuan Sumber Manusia kawasan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor. Majlis ini telah dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Sumber Manusia kawasan Tanjung Langsat, Pn. Halimah binti Mohd Ali, CEO EEW Malaysia Sdn. Bhd. Mr Thorsten Petermann, Pengarah ILP Pasir Gudang, Ts. Dr Alina binti A. Rahman@Othman, pihak pengurusan ILPPG dan pemain-pemain industri sekitar kawasan Tanjung Langsat serta pihak berwajib yang terlibat dalam pengoperasian industri di kawasan Tanjung Langsat.
Majlis ini diadakan bagi memperkenalkan peneraju-peneraju dalam Pengurusan Sumber Manusia di setiap syarikat-syarikat sekitar Tanjung Langsat dan mempromosikan ILP Pasir Gudang dengan memperkenalkan kakitangan pengurusan institut dengan wakil-wakil industri yang hadir. Majlis yang berkonsepkan Sambutan Hari Raya ini berjaya menghimpunkan lebih kurang 20 buah syarikat di dalam kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), TPM Technopark sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan projek bagi pembangunan komersial dan perindustrian di kawasan Tanjung Langsat, Penghulu Mukim Plentong dan pihak pengurusan ILP Pasir Gudang.